SEGAMAT: Kira-kira 500,000 generasi belia Felda dijangka akan terbabit dalam 951 aktiviti yang bakal dilaksanakan di 317 kawasan tanah rancangan itu di seluruh negara melalui Program Rakan Muda Sektor Kawasan Kemajuan Tanah akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, perancangan dan pelaksanaan program itu adalah selaras dengan hasrat kementerian berkaitan pembangunan modal insan di Felda ke arah membantu melahirkan generasi muda yang berdaya saing dan berketerampilan.
Katanya, selain pembabitan terus dalam Program Rakan Muda, generasi belia Felda juga dapat menimba pengetahuan, berinteraksi dan diberi pendedahan dalam kegiatan kemasyarakatan serta kegiatan yang berfaedah. "Ia bertepatan dengan dasar kerajaan untuk melahirkan belia yang bersatu padu, berilmu, berketerampilan, patrotik, berkemahiran, bersemangat sukarela dan berdaya saing di semua peringkat.
"Lapan gaya hidup yang digariskan dalam Program Rakan Muda sesuai untuk golongan berusia 15 hingga 25 tahun. Kementerian akan berusaha membantu menyalurkan peruntukan melalui Majlis Rakan Belia Felda," katanya pada majlis pelancaran Iktiraf Rakan Muda Felda Peringkat Kebangsaan di Dataran Felda Pemanis 1, di sini semalam.
Katanya, setiap persatuan belia di kawasan Felda akan menerima peruntukan bernilai RM5,000 bagi membantu menggerakkan program pembangunan belia di kawasan masing-masing. Lapan gaya hidup yang dilaksanakan dalam Program Rakan Muda ialah Rakan Muda Cinta Alam, Rakan Muda Masyarakat, Rakan Muda Inovasi, Rakan Muda Seni Budaya, Rakan Muda Kecergasan, Rakan Muda Wajadiri, Rakan Muda Wirausaha dan Rakan Muda Remaja Silver.