Pengurus Felda Lui Muda, Mohamad Nasir Nordin berkata, pihak pengurusan bersimpati dengan luahan :peneroka dan sentiasa memberi kerjasama menyelesaikan masalah :serta tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih.
Menurutnya, semua permohonan dihantar ke peringkat Wilayah Felda, kemudian diserahkan ke Ibu Pejabat Felda dan kini dalam proses pemilihan melalui panel berkenaan.
“Diharap semua pemohon terlibat dapat bersabar sedikit masa lagi dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan sekiranya terdapat masalah.
“Felda akan membuat kutipan melalui potongan ‘paysheet’ ataupun tunai bagi semua pinjaman diluluskan supaya membuka peluang kepada pemohon baru sebagai dana pusingan,” katanya.
Nasir berkata, kemudahan pinjaman pembesaran perumahan untuk peneroka Felda dilancarkan pada 2005 bertujuan mengelakkan rumah mereka dalam bentuk asal semasa mula-mula diduduki.
Menurutnya, sehingga Februari lalu, bilangan peneroka Felda Lui Muda yang memohon seramai 113 orang daripada 213 peneroka dan sebanyak 90 orang atau 42.2 peratus diluluskan bernilai RM2.66 juta.
“Pengurusan Felda sentiasa prihatin dan berusaha sedaya upaya melaksanakan gagasan Perdana Menteri dalam mewujudkan suasana kondusif dan selesa kepada semua warga komuniti khususnya dalam kalangan masyarakat Felda sendiri,” katanya.
Sinar Harian pada 13 Mac lalu melaporkan seramai 16 peneroka tertanya-tanya mengenai status permohonan pinjaman untuk tujuan perumahan yang dibuat sejak tiga tahun lalu sehingga kini belum ada sebarang jawapan.
Mereka turut mendakwa, masalah itu menyebabkan sebahagian mereka berasa seolah-olah layanan diberikan terhadap peneroka rancangan sekitar kawasan itu tidak sama rata.
Sementara itu, Ketua Blok 2A, Peringkat Rancangan Felda Lui Muda, Abd Wahab Long, 55, berkata, beliau dan 15 rakannya yang lain membuat permohonan tersebut kepada Felda pada Disember 2007 tetapi sehingga kini masih tiada jawapan.
Menurutnya, usaha mendapatkan jawapan permohonan itu diteruskan sehingga ke Ibu Pejabat Felda, di Kuala Lumpur, malangnya jawapan diberi tidak boleh diterima mereka.
Ketidakpuasan mereka semakin memuncak apabila mendapati Skim Pinjaman Baru 2010 menyaksikan pinjaman antara 20 hingga 30 keluarga dari tanah rancangan bersebelahan diluluskan.
Sumber : Sinar Harian Online Edisi Negeri Sembilan & Melaka