Berteraskan konsep ‘Sukan Untuk Semua’, ‘Malaysia Cergas’ dan ‘Ke Arah Malaysia Cergas, Sihat dan Bersatu’, slogan ini bertujuan sebagai penyokong kepada konsep tersebut bagi melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya sukan serta sentiasa mengamalkan aktiviti kecergasan di dalam kehidupan seharian mereka.
OBJEKTIF SLOGAN TIADA ALASAN!
- Mempromosikan amalan gaya hidup cergas dan sihat sepanjang masa di kalangan masyarakat Malaysia.
- Menggalakkan penerimaan dan pengamalan program kecergasan dan kesihatan sebagai salah satu budaya di dalam kehidupan seharian.
- Memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk terlibat di dalam aktiviti sukan dan kecergasan.
- Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan melakukan aktiviti kecergasan.
- Memupuk semangat cintakan negara melalui aktiviti kecergasan agar menjadi rakyat yang cergas dan sihat.
- Meningkatkan tahap kecergasan, kesihatan dan kualiti kehidupan masyarakat Malaysia melalui aktiviti yang berteraskan kecergasan.
Oleh yang demikian, berkonsepkan penyertaan ramai dan penyertaan aktif masyarakat di dalam kegiatan sukan, rekreasi dan kecergasan adalah sangat diharapkan. Melalui slogan ini, ianya sedikit sebanyak akan dapat menyumbang kepada penglibatan masyarakat di dalam menghayati akan peri pentingnya mengamalkan gaya hidup cergas dan sihat.
Slogan ini perlu diberi perhatian yang serius oleh setiap lapisan masyarakat agar sentiasa mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai aspek kecergasan. Memang tidak dapat dinafikan, dengan adanya rakyat yang cergas dan sihat dari segi mental dan fizikal akan mampu membangunkan negara dan seterusnya dapat mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara pada masa kini dan selamanya.
Slogan TIADA ALASAN! diharap dapat meningkatkan penglibatan masyarakat di dalam aktiviti – aktiviti sukan dan kecergasan yang seterusnya akan menjadi salah satu penyumbang kepada pencapaian Wawasan Negara untuk melahirkan Masyarakat Malaysia yang Cergas, Sihat dan Bersatu serta menuju Negara Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
No comments:
Post a Comment